Monday, April 17, 2006

Takaful : Sistem Perlindungan Islam Yang Berteraskan Syariah

Ajaran Islam tidak pernah sama sekali melarang umatnya untuk mencipta sesuatu perkara di dalam aspek kemajuan urusan hidup manusia tetapi perlulah bertepatan dengan prinisp Syariah Islam. Inilah keindahan Islam yang begitu unggul! Begitu juga halnya dengan konsep perlindungan dalam Islam, ianya mestilah sejajar dengan kehendak Allah s.w.t., barulah kita bakal memperolehi keuntungan duniawi dan ukhrawi sekaligus.Dewasa ini, masyarakat telah banyak didedahkan dengan Sistem Perlindungan yang berteraskan Syariah atau lebih dikenali sebagai Sistem Takaful.

Perkataan Takaful di dalam bahasa Arab membawa maksud saling jamin-menjamin atau saling pelihara-memelihara. Di dalam konteks ini, perkataan Takaful akan disandarkan kepada Sistem Insurans yang berteraskan prinsip Islam. Konsep ini pada hakikatnya menggambarkan satu rancangan insurans yang berasaskan perpaduan, rasa tanggungjawab dan hubungan persaudaraan antara sesama peserta yang berdasarkan konsep tabarru’ (derma) yang Ikhlas kerana Allah s.w.t kepada ‘Tabung’ yang diurus secara professional oleh syarikat Takaful bertujuan membantu mana-mana peserta yang ditimpa musibah.

Sistem Takaful yang berdasarkan kepada aqad Tabarru’ merangkumi elemen-elemen berikut:-

1. Saling bertanggungjawabPeserta-peserta Takaful bersetuju untuk saling bertanggungjawab antara satu sama lain. Memikul tanggungjawab dengan niat baik adalah merupakan satu ibadah dan hal ini dituntut dalam Islam. Lihatlah maksud sabda Nabi s.a.w. ini:"Perumpamaan hubungan orang-orang beriman dari segi kasih-sayang, kecintaan, dan perasaan mereka adalah ibarat satu tubuh (jasad). Apabila satu dari anggotanya tidak sihat, maka seluruh anggota badannya akan berjaga malam dan demam (panas). (Hadith Riwayat Bukhari dan Muslim)

2. Saling bekerjasama dan bantu membantuPeserta-peserta rancangan Takaful bersetuju untuk bekerjasama dan bantu membantu antara satu sama lain dalam menguruskan perlindungan dengan baik. Allah s.w.t. telah berfirman dalam Surah al-Maidah ayat 2 dengan maksudnya:"Bekerjasamalah kamu pada perkara-perkara kebajikan dan taqwa dan janganlah kamu bekerjasama dalam perkara-perkara dosa dan yang boleh menimbulkan permusuhan."

3. Saling lindung-melindungi dari sebarang kesusahan dan musibahMelalui konsep ini, peserta-peserta Takaful mengambil sikap untuk saling jamin-menjamin di antara satu sama lain, di mana sebahagian daripada wang caruman mereka yang dikenal sebagai wang Tabarru’ (derma) akan diperuntukkan untuk membantu mana-mana peserta yang ditimpa musibah dan pengendali Takaful bertugas untuk mengendalikan wang caruman tersebut dengan penuh amanah. Maksud sabda Nabi s.a.w. yang diriwayatkan oleh Ibnu Majah: "Seseorang yang beriman itu ialah sesiapa yang boleh memberi keselamatan (perlindungan) terhadap harta dan jiwa raga manusia."

Inilah kekuatan yang ada pada Sistem Takaful yang berperanan menyelamatkan umat Islam daripada terus menerus dibelenggu oleh sistem yang tidak diredhai oleh Allah s.w.t. Semoga dengan wujudnya pengendali-pengendali Takaful dan penglibatan kita semua di dalam sistem perlindungan yang berteraskan Syariah ini, akan memberi manfaat dan jaminan kesejahteraan bersama bukan sahaja di dunia bahkan di akhirat melalui pelaksanaan aqad Tabarru’.

Insya Allah ini akan memberi ganjaran yang teramat besar di sisi Allah s.w.t.

Di petik dari laman web Takaful Ikhlas

K. Aza

Untuk karier perunding Unit Trust klik di sini

Untuk karier perunding Takaful klik di sini

No comments: